Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (dua kanan) bersama Pengerusi Lembaga (PERKESO), Datuk Seri Subahan Kamal (tengah) bergambar bersama peserta yang hadir selepas Program PERKESO Run & Ride 2022 di Dataran DBKL, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 16 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Lebih 3,000 peserta menyertai acara larian dan kayuhan basikal PERKESO Run & Ride 2022 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berlangsung dari pukul 7 hingga 10 pagi tadi. 

Penyertaan PERKESO Run & Ride 2022 yang dibuka sebulan dari 1 Ogos hingga 2 September lalu mendapat  sambutan menggalakkan apabila seramai 2,813 peserta mendaftar bagi acara larian dan 336 untuk acara berbasikal.

Pengerusi Lembaga (PERKESO), Datuk Seri Subahan Kamal berucap selepas Program PERKESO Run & Ride 2022 di Dataran DBKL, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 16 OKTOBER 2022.

Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia, diwakili oleh Datuk Seri Subahan Kamal, Pengerusi Lembaga PERKESO berkata, program yang dijalankan seiring dengan inisiatif hijau KL Car-Free Morningitu bertujuan mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan Keluarga Malaysia.

“Acara tahunan yang bermula sejak 2015 ini merupakan sebahagian daripada aktiviti pencegahan dan promosi kesihatan pekerja yang dianjurkan PERKESO.

“Antara lain ialah aktiviti pemakanan sihat, pengurusan berat badan, saringan kesihatan, berhenti merokok dan penjagaan kesihatan mental,” katanya semasa berucap merasmikan PERKESO Run & Ride 2022.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohamed.

Terdapat dua kategori dipertandingkan iaitu larian ‘Fun Run’ dan berbasikal ‘Fun Ride’, masing-masing sejauh tujuh kilometer yang bermula dan berakhir di Menara DBKL, Jalan Raja Laut.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (dua kiri) bersama Pengerusi Lembaga (PERKESO), Datuk Seri Subahan Kamal (tengah) menyampaikan anugerah kepada peserta pada Program PERKESO Run & Ride 2022 di Dataran DBKL, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 16 OKTOBER 2022.

Bersempena dengan program ini juga, PERKESO turut menyampaikan anugerah kepada majikan dan pekerja yang memenangi pertandingan Activ@Work Challenge 2022, iaitu pertandingan berbentuk cabaran bergiat aktif di tempat kerja.

Pemenang dipilih berdasarkan saiz syarikat, bagi kategori pekerja dipecahkan kepada empat sub-kategori iaitu Amethyst (syarikat mikro), Sapphire (kecil), Emerald (sederhana) dan Ruby (besar).

Sementara itu, bagi kategori majikan, pemenang adalah daripada tiga sub kategori iaitu Sapphire (kecil), Emerald (sederhana) dan Ruby (besar).

Pengerusi Lembaga (PERKESO), Datuk Seri Subahan Kamal (dua kanan) menyampaikan cabutan bertuah motorsikal kepada peserta pada Program PERKESO Run & Ride 2022 di Dataran DBKL, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 16 OKTOBER 2022.

Selain itu, PERKESO turut menganjurkan pelbagai aktiviti lain antaranya pameran, portal perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs dan cabutan bertuah dengan 20 hadiah utama seperti motosikal, basikal, skuter elektrik dan jam pintar. – MalaysiaGazette