Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak pernah sesekali mengatakan parti itu sudah berpatah arang untuk bekerjasama dengan UMNO, apatah lagi menutup pintu rundingan.

Setiauaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sekalipun Pas gagal dalam rundingan namun parti itu tidak mahu bermusuh dengan UMNO.

“Saya tak anggap begitu, kenyataan presiden Pas pun mempereratkan lagi hubungan dalam PN, tetapi tidak pernah menyatakan tidak bekerjasama dengan UMNO.

“Kalau perhatikan betul-betul kenyataan daripada Presiden Pas tidak ada. Bila kita sebut penyatuan ummah, kita tidak boleh bermusuh.

“Walaupun tak boleh berkawan, jangan bermusuh, jangan isytihar sebagai musuh, itu tak boleh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, Pas menangguhkan hasrat bekerjasama dengan UMNO bagi membolehkan parti Melayu itu menjernihkan kekeruhan yang timbul termasuk dibebani isu rasuah.

Abdul Hadi ketika menyampaikan kuliah Dhuha, di Pantai Peranginan Kelulut, Marang semalam berkata, Pas memilih untuk bersama PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia kerana Abdul Hadi mendakwa pemimpin UMNO rakus mahu memerintah negara dan masih menerima rasuah.

Dalam pada itu, Takiyuddin menjelaskan, meskipun Pas dan UMNO belum mencapai kata sepakat, namun masih ada jalan untuk mengelakkan pertembungan kerusi dalam PRU15.

“Sekiranya gabungan tak dapat, ada aturan macam persefahaman antara parti.

“Mungkin parti tertentu letakkan calon, parti ini tak letak calon, boleh jadi begitu.

“Bukan saya nak katakan ada, boleh jadi begitu, bila kita tidak berjaya menubuhkan gabungan bersama, kita boleh berbincang dari segi persefahaman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast