TEHRAN – Kebakaran besar berlaku di penjara Evin yang menempatkan tahanan politik, wartawan dan warga asing.
Video yang dikongsi di media-media sosial menunjukkan api dan asap di lokasi tersebut dengan bunyi tembakan serta letupan boleh didengari.
Seorang pegawai yang dipetik media kerajaan berkata, keadaan terkawal, namun rakaman video menunjukkan kebakaran.
Iran telah dicengkam selama berminggu-minggu oleh protes anti-kerajaan selepas kematian seorang remaja, Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis kerana didakwa telah dipukul.
Amini ditahan kerana tidak memakai tudung dengan sempurna.
Namun polis menafikan berlaku kekerasan terhadap Amini, sebalik mendakwa remaja 22 tahun itu meninggal dunia kerana serangan jantung.
Setakat ini tidak dapat dipastikan kebakaran yang berlaku di penjara ini ada kaitan dengan demonstrasi besar-besaran yang diadakan di seluruh Iran sejak beberapa minggu lalu.
Saksi berkata, pasukan khas menyertai anggota bomba ke penjara yang telah disenaraihitamkan oleh Amerika Syarikat kerana melanggar hak asasi manusia.
Bagaimanapun, rata-rata media mendakwa, beratus-ratus penunjuk perasaan bagi memperjuangkan Amini telah dihantar ke penjara Evin.
Dalam video yang disiarkan di media sosial oleh kumpulan pemantau anti-kerajaan – 1500tasvir, laungan “mati kepada diktator” – salah satu slogan yang dijeritkan hingga boleh didengari dari luar penjara.
Satu lagi video kelihatan menunjukkan objek ditembak ke dalam penjara dari luar perimeternya, dan letupan kemudian kedengaran.
Media Iran, yang dikawal ketat oleh kerajaan, melaporkan rusuhan bermula dengan tahanan kewangan dan jenayah dan tiada tahanan politik terlibat.
Lapornya tiada kematian berlaku tetapi lapan orang cedera dan keadaan kini terkawal.
Bagaimanapun, difahamkan keadaan di penjara itu masih bercelaru.
Kenderaan pasukan keselamatan dan ambulans turut ditempatkan di situ.
Video yang disiarkan di media-media sosial menunjukkan api masih marak dan bunyi tembakan kedengaran di sekitar penjara.
Gambar-gambar lain menunjukkan banduan di atas bumbung bahagian penjara yang mana tahanan politik dan ramai penunjuk perasaan yang telah ditangkap dalam tempoh empat minggu lalu diletakkan di penjara ini.
Keluarga beberapa banduan memberitahu, mereka tidak dapat menghubungi saudara mereka melalui telefon dan sambungan internet di sekitar penjara juga telah terputus.
Jalan-jalan menuju ke penjara juga ditutup. – Agensi