Mesyuarat Bahagian UMNO Jerantut yang berlangsung hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebuah suruhanaya siasatan diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat pelantikan hakim-hakim ketika pentadbiran perdana menteri ketujuh di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Siasatan perlu berkisar kepada sama ada ia mematuhi peruntuk Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695).

Desakan penubuhan suruhanjaya itu dikemukakan UMNO Bahagian Jerantut yang bermesyuarat hari ini.

Menurut usul itu lagi jika siasatan mendapati pelantikan hakim-hakim berkenaan berbau politik maka UMNO Jerantut mendesak agar mereka dipecat mengikut peruntukan dan prosedur yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Bukan itu sahaja, kes-kes yang telah diputuskan oleh hakim-hakim berkenaan harus dikaji ulang.

Sementara itu, UMNO Jerantut turut mendesak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan ke atas Tommy Thomas berkaitan bukunya My Story: Justice in the wilderness.

Ia sejajar dengan kenyataan media Pejabat Perdana Menteri bertarikh 30 September 2022 bahawa Thomas akan disiasat mengikut ;

(i) Seksyen 124I & Seksyen 203A Kanun Keseksaan;
(ii) Seksyen 4 Akta Hasutan 1948;
(iii) Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan
(iv) Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Menurut usul tersebut PDRM dan SPRM perlu membuat siasatan segera dan menghantar kertas siasatan kepada Peguam Negara sama ada untuk mendakwa Tommy Thomas atau tidak mengikut Perkara 145 Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam usul yang sama, UMNO Bahagian Jerantut mendesak agar keadilan dalam kes DatukĀ  Seri Najib Tun Razak dilihat dalam keseluruhan perspektif ini.

Sistem keadilan, menurut usul tersebut perlu diluruskan terlebih dahulu sebelum keadilan dapat diberi kepada beliau.

“Jika sistem keadilan bersimpang siur, maka bagaimana mungkin keadilan dapat dilaksanakan?

“Kita mahu kerajaan yang baru nanti pada jam yang pertama mentadbir memulakan kerja-kerja untuk memastikan keadilan dilaksanakan.

“Keadilan yang ditangguhkan ialah keadilan yang dinafikan.” katanya. – MalaysiaGazette