Sa'aimah Husin

KUALA LUMPUR – Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November ini, Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian Segamat menuntut agar pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon daripada parti itu bagi kerusi Parlimen berkenaan.

Berdasarkan persidangan kedua-dua sayap berkenaan sebelum ini, mereka turut mengetengahkan usul agar kerusi Parlimen Segamat ‘dipulangkan’ semula kepada UMNO untuk dipertandingkan.

Menurut Ketua Penerangan Wanita UMNO Segamat, Sa’aimah Husin, antara sebab tuntutan itu diusulkan adalah bagi menjamin kemenangan BN di Parlimen itu, memandangkan MIC sebagai penyandangnya tidak mempunyai jentera pilihan raya yang meyakinkan.

Justeru, beliau mahu pucuk pimpinan meletakkan calon yang mempunyai rekod perkhidmatan di peringkat Parlimen sejak sekian lama dan sudah dikenali ramai, selain anak jati kelahiran Segamat.

Katanya, antara yang berpotensi setakat ini ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian itu, Datuk Norshida Ibrahim.

“Sebagai Wanita, kita inginkan calon daripada Wanita UMNO sendiri. Kerusi ini asalnya milik UMNO, cuma diberi pinjam kepada MIC untuk beberapa penggal sahaja.

“Namun, kekalahan calon MIC, Tan Sri S. Subramaniam pada PRU14 memberikan perspektif bahawa sudah tiba masanya BN mengembalikan kerusi itu kepada UMNO,
katanya.

Mariam Salleh

Ini diakui Ahli Jawatankuasa Wanita Bahagian, Mariam Salleh yang menyatakan, sudah membawa usul itu ke peringkat bahagian parti untuk diteliti dan tindakan.

Katanya, dalam usul itu, mereka mahu calon Parlimen Segamat pada PRU15 ialah Wanita UMNO, bukan lagi MIC.

“Dengan tuntutan ini tidak bermakna kami menolak MIC, tetapi sudah terlalu lama MIC mengambil kawasan ini dan kalah bertanding pada PRU lalu,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Segamat, Bastien Onn menegaskan agar pucuk pimpinan BN memberi perhatian sewajarnya kepada usul yang telah diketengahkan agar Parlimen Segamat diberikan semula kepada UMNO.

Bastien Onn

“Kalau dilihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, menunjukkan pengundi Segamat mahukan calon daripada pemimpin Melayu. Oleh itu, UMNO harus mengambil pendirian untuk mendengar isi hati akar umbi dan pengundi.

“UMNO sebuah parti yang kesetiaannya tidak boleh diragui. Contohnya, di Segamat sendiri selama lima penggal kita memberi laluan kepada MIC dan pandangan ahli parti kali ini sedikit berbeza.

“Misalnya, jika dahulu sesiapa pun calon daripada MIC, kita akan berjuang bermatian sehinggalah perubahan selera pengundi di Segamat kali ini yang menyatakan secara jelas mahukan calon dari kalangan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Setiausaha Pemuda UMNO Segamat, Khairul Anwar Othman turut menegaskan pemilihan calon yang sesuai mampu membawa kemenangan kepada BN berbanding sentimen ‘kerusi tradisi’ yang sering diketengahkan selama ini.

Khairul Anwar Othman

Ketika ini, katanya, Parlimen Segamat memerlukan calon yang boleh menang dan mesti datang daripada Umno.

Berdasarkan peratusan pengundi di Segamat, sebanyak 47 peratus adalah pengundi Melayu, Cina 42 peratus dan India 9.2 peratus.

Menurutnya, menyedari jumlah pengundi tersebut, Pemuda Bahagian berpendapat wajar kerusi Parlimen Segamat dipulangkan semula kepada UMNO untuk memastikan BN menang.

“Ini bukan soal kita tidak selari dengan parti komponen, tetapi kita mahu menangkan BN dan kaedahnya adalah mesti meletakkan calon daripada UMNO.

“Berdasarkan keputusan PRN Johor juga menunjukkan pengundi Segamat sama ada di DUN Jementah dan Buloh Kasap mahukan pemimpin Melayu, anak tempatan yang bekerja dan berkhidmat di Segamat.

“Malah Pengerusi Badan Perhubungan negeri juga sebelum ini sudah menyatakan tiada lagi kerusi selamat untuk ‘kerusi tradisi’. Justeru, kita mahu Parlimen Segamat dikembalikan semula kepada UMNO selepas sembilan penggal dipinjamkan kepada MIC,” kata beliau.

Beliau berharap, MIC perlu berjiwa besar untuk memudahkan BN memenangi Parlimen itu dan elakkan daripada meletakkan calon MIC yang salah di tempat yang sepatutnya BN boleh menang.

Untuk rekod, Dr. S. Subramaniam adalah mantan Ahli Parlimen Segamat daripada MIC sejak 2004 dan kalah pada PRU14 kepada calon Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Edmund Santhara Kumar dengan majoriti 5,476. – MalaysiGazette