PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat sebarang keputusan setakat ini untuk meletakkan calonnya di Perak susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu hari ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, perkara itu masih belum dibincangkan di peringkat parti.
“Belum tahu lagi,” katanya secara ringkas kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Persidangan Penuaan Kebangsaan 2022 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) di Hotel Averly, di sini hari ini.
Beliau mengulas pembubaran DUN Perak yang berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembubaran dilakukan selepas mendapat warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam yang memberi perkenan untuk membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini.
Katanya, ia selaras dengan Perkara 32(2), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Rabu lalu, media melaporkan Saarani menghadap Sultan Nazrin bagi mempersembahkan hasrat pembubaran DUN Perak sebelum dititahkan sekali lagi menghadap pada Jumaat lalu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendiriannya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Jeli, beliau tidak mahu mengulas mengenainya. – MalaysiaGazette