Laluan jalan raya Kampung Kuala Sat menghala ke Kampung Bantal dalam keadaan tanah runtuh ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jerantut, Pahang. Foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2022.

JERANTUT – Alah bisa, tegal biasa.

Bagi pelajar sekolah Kampung Kuala Sat di sini melakukan aktiviti merentas desa sepanjang laluan  agak berbahaya tidak langsung menjadi masalah.

Manakan tidak, MalaysiaGazette menyaksikan sendiri mereka menggunakan laluan jalan raya yang masih dalam proses pembaikan setelah kejadian tanah runtuh di situ sejak setahun lalu.

Ketika ditemui, seorang guru Sekolah Kebangsaan Kuala Sat, Alipah Abu Bakar berkata, pelajar-pelajar dikehendaki menghabiskam aktiviti ritual walk tersebut sejauh lima kilometer (km) ke perkampungan berhampiran iaitu Kampung Bantal.

“Kami sebenarnya Pandu Puteri. Dalam aktiviti ini, murid-murid  kena berjalan sejauh lima km dan kami guru-guru kena menghabiskan 10 km,” katanya.

Ditanya jika ia berbahaya bagi kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun yang berhadapan situasi tersebut, beliau hanya tersenyum dan menggelengkan kepala.

“Jalan runtuh ini tiada masalah pun. Sebab kami sudah biasa lalu tapi kami tetap ambil langkah berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Alipah Abu Bakar

Tambah Alipah, segala aspek keselamatan pelajar dititik berat memandangkan terdapat beberapa orang guru turut mengiringi mereka sepanjang aktiviti itu.

Namun beliau mengakui keadaan laluan mereka itu tetap tidak sesuai untuk diteruskan bagi jangka panjang.

“Sebab sudah setahun pembaikan jalan sebab tanah runtuh ni. Kita harap proses ni siaplah secepat mungkin,” ulasnya.

Melalui pemerhatian MalaysiaGazette, jalan raya sepanjang dari Kampung Kuala Sat menghala ke Kampung Bantal masih dalam proses pembaikan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Kejadian tanah runtuh di empat lokasi di jalan raya tersebut difahamkan berlaku sejak setahun yang lalu dan telah menjejaskan hampir sebahagian laluan sebelah kiri jalan raya terbabit. – MalaysiaGazette