TAPAH – Pentingnya pembangunan sosio-ekonomi komuniti khasnya golongan Orang Asli di negara ini, kerajaan meneruskan pelbagai inisiatif meningkatkan kemahiran golongan pribumi itu.
Mengambilkira perkara itu, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) menubuhkan Pusat Latihan dan Pembangunan Komuiti pertama di Tapah, Perak dengan objektif golongan ketiga terbesar di kawasan itu akan diperkasakan dalam pelbagai bidang.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, sebagai bekas Ahli Parlimen Tapah, beliau cukup memahami kehendak serta keperluan mereka selama ini.
Malah, kata beliau, komuniti Orang Asli kini sudah jauh berubah kepada yang lebih baik serta hebat.
“Itulah juga antara kejayaan yang saya boleh banggakan sebenarnya, anda boleh lihat sendiri keadaan dan kualiti kehidupan mereka pada hari ini. Saya banyak menghabiskan masa dengan mereka selama ini, hakikatnya pemerkasaan itu perlu dan bukan sekadar omong kosong sahaja.
“Penubuhan Pusat Latihan dan Pembangunan Komuniti di Tapah ini juga adalah usaha kerajaan dalam perkasakan masyarakat tempatan di samping meningkatkan tahap usaha pembangunan modal Insan di negara ini,” katanya selepas majlis pelancaran Pusat Komuniti dan Latihan Pembangunan Tapah di sini semalam.
KSM dan HRD Corp telah banyak banyak memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menyokong komuniti di Tapah sejak lebih dua tahun kebelakangan ini, katanya.
“Dengan menyokong komuniti tempatan di Tapah untuk tingkatkan taraf hidup melalui latihan, pekerjaan dan peluang menjana pendapatan, kita juga akan pastikan mereka menjadi ahli masyarakat produktif dengan menyumbang kepada pembinaan negara,”
Untuk makluman, pusat latihan ini yang bertempat di Akasia 2 akan menjadi medium bagi membantu ahli masyarakat membuat persediaan untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi, institusi pendidikan teknikal dan latihan Vokasional (TVET), program Sistem Latihan Dua Nasional (SLDN) dan banyak lagi.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Hameed Dawood berkata, seramai 10 kakitangan agensi itu akan mengendalikan pusat latihan tersebut.
“Saya sangat berbangga dengan pasukan saya di HRD Corp atas pencapaian yang luar biasa dengan penubuhan pusat latihan ini, ini adalah yang pertama dan akan ada banyak lagi selepas ini. Kakitangan kita yang terdiri dalam kalangan Orang Asli dari pelbagai suku mempunyai latar belakang berbeza. – MalaysiaGazette