Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Peyerahan Projek Pusat Kardiologi Hospital Serdang di Hospital Serdang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 17 OKTOBER 2022.

SERDANG – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar merakam ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) yang sedia mencari kerusi Parlimen yang sesuai untuk beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana tiada apa yang perlu dipanjangkan lagi.

“Terima kasihlah. Saya tiada apa hendak cakap,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerah Pusat Kardiologi Hospital Serdang, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad bahawa parti tersebut akan mencari kerusi Parlimen sesuai buat Menteri Kesihatan itu untuk ditandingi pada PRU15.

Semalam Mohamad berkata, Khairy merupakan pemimpin muda yang berkaliber untuk negara dan BN tidak boleh kehilangan pemimpin seperti itu.

Khairy yang merupakan Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal akan memberi laluan kepada Mohamad untuk bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15.

Khairy sebelum ini pernah meluahkan kebimbangan kerana tidak mempunyai kerusi untuk bertanding walaupun dikaitkan dengan Parlimen Port Dickson dan Alor Setar. – MalaysiaGazette