Antara pengguna motosikal yang menerima minyak petrol percuma dalam program Petrol Percuma 5.0 anjuran MySetiawangsa, di Stesen Minyak Petron Sri Rampai.

KUALA LUMPUR — Lebih 600 penunggang motosikal terutama penghantar makanan, p-hailing dan petugas barisan hadapan menerima sumbangan minyak petrol percuma di Stesen Minyak Petron Sri Rampai, malam tadi.

Program bantuan yang dinamakan Petrol Percuma 5.0 itu dianjurkan oleh Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa (MySetiawangsa) sebagai inisiatif membantu komuniti setempat yang terkesan dengan kenaikan harga barang ketika ini.

Presidennya, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, usaha meringankan beban menerusi sumbangan petrol percuma kali ini merupakan pemberian siri kelima bagi MySetiawangsa.

“Kehebatan bantuan kecil bukan terletak pada jumlahnya tetapi kesannya buat mereka yang terkesan khususnya ketika negara baru bangkit daripada Covid-19”

“Bantuan tidak akan diberikan secara one-off kerana MySetiawangsa akan terus membantu warga Setiawangsa dalam pelbagai konteks dari semasa ke semasa” katanya kepada pemberita, di sini, malam ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa, Datuk Sri Izudin Ishak termasuk pelakon terkenal, Putra Amaris, Puteri Sarah Liyana, serta Tam Suhaimi.

Irwan Rizal berkata, pemberian minyak secara percuma ini amat dihargai oleh golongan penerima.

Ia kerana, salah seorang penunggang memberitahunya, minyak yang diisi itu mampu memberi penjimatan selama tiga hari untuk menghantar anak ke sekolah.

Dalam program itu juga, MySetiawangsa juga memohon maklumat beberapa warga setempat untuk berhubung bagi menerima bantuan selanjutnya. – MalaysiaGazette