MELAKA – Polis menahan seorang lelaki dipercayai kurang siuman yang mengamuk dengan membawa sebilah parang dan pisau di atas bumbung rumahnya di Kampung Bukit Tempayan, Tanjung Kling, di sini, pagi tadi.
Kejadian yang turut tular di media sosial pagi tadi menunjukkan seorang lelaki berada di atas bumbung rumahnya sambil beberapa anggota polis dan bomba cuba memujuknya turun.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, , polis menerima panggilan kecemasan pada jam 11.30 pagi mengenai seorang lelaki kurang siuman bertindak memukul isteri dan anaknya.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian lelaki berusia 37 tahun itu dilihat berada di atas bumbung rumah setelah memukul isterinya yang berada di luar rumah sewa mereka.
“Isterinya mendakwa telah ditumbuk di bahagian mata oleh suaminya sementara tiga anak-anaknya berusia antara 10 hingga 13 tahun turut dimarahi suspek.
“Usaha memujuknya turun dari bumbung rumah oleh polis tidak berjaya dan suspek hanya mencampakkan sebilah pisau pemotong daging kecil sementara sebilah lagi pisau masih berada ditangannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Tambahnya, suspek turut bertindak agresif memarahi polis dan turut membaling perabung atap ke bawah menyebabkan polis terpaksa meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu yang tiba dengan kekuatan 11 anggota.
“Setelah pelbagai cara dilakukan selama lebih dua jam, akhirnya seorang anggota bomba berjaya naik ke atas bumbung namun berlaku sedikit pergelutan menyebabkan beberapa keping atap pecah.
“Suspek yang tidak bekerja bagaimanapun berjaya ditahan sekitar jam 1.40 petang,” katanya
Christopher berkata, hasil siasatan mendapati suspek merupakan pesakit mental yang mendapat rawatan psikiatrik di Hospital Melaka.
“Suspek telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan kerana mengalami kecederaan di bahagian kening dan badan akibat pergelutan,” katanya. – MalaysiaGazette.