Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah menyampaikan sumbangan wang zakat daripada syarikat perkhidmatan kesihatan dan konsultansi, Advance Pact Sdn kepada 60 orang asnaf di Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2022.

JERANTUT – Hampir 6,000 tapak rumah dan pertanian di Pulau Tawar di sini telah mendapat kelulusan kerajaan Pahang sebelum pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 14 Oktober baru-baru ini.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah, jumlah itu melibatkan sebanyak 3,479 petak di 231.752 hektar kawasan tanah rancangan Felda dan 1,419 petak dengan keluasan 412.727 hektar di kampung tradisional.

Bagi kampung tradisional di Pulau Tawar, sebanyak 921 tapak rumah dengan keseluruhan keluasan 63.298 hektar telah diluluskan di Rancangan Pemulihan Kebun (RPK) Bukit Rang Fasa 1, 2, 3, 4 & 5; Skim Tanah Rakyat (STR) Pulau Tawar, Kg Perak 2 dan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Sg. Siam Fasa 1 & 2, katanya.

Tambah Nazri, sebanyak 498 petak tanah pertanian turut mendapat kelulusan kerajaan negeri yang membabitkan keluasan 349.429 hektar di STR Sungai Sambau; Sungai Rengai; Sungai Salan; Sungai Siam 2; Temin 1; Temin 2 dan Kampung Perak 1 untuk tanaman dusun dan kelapa sawit.

“Begitu juga di kawasan Felda. Sebanyak 2,180 tapak rumah dan 95 tapak pertanian di Pulau Tawar selain 1,204 tapak rumah di Cenur juga mendapat kelulusan,” tambahnya.

Nazri Ngah. Foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2022.

Katanya, ia membabitkan tapak rumah dan pertanian di Felda Kota Gelanggi 1, 2, 3 dan 4; Felda Sungai Tekam Utara dan Sg Tekam; Felda Lepar Utara 3; Felda Jengka 8, 9, 10, 12 dan 13.

“Saya tak pernah dan tidak akan tinggalkan kampung tradisi dan Felda. Saya bagi sama rata. Hak milik untuk tanah Felda pun akan dikeluarkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Nazri berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang zakat daripada syarikat perkhidmatan kesihatan dan konsultansi, Advance Pact Sdn kepada 60 orang asnaf, ibu tunggal, orang kelainan upaya dan warga emas di Kompleks Galeri Mat Kilau di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, itu merupakan antara hasil usahanya sepanjang tempoh hanya 53 bulan berkhidmat bagi penduduk di DUN Pulau Tawar.

Selain itu, peringkat kerajaan negeri pula, selaku Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Nazri turut memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan kutipan hasil negeri yang kini telah melebihi nilai RM1 billion.

Ditanya mengenai kemungkinan beliau kekal bertanding di DUN itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti, Nazri yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut menyerahkan kepada pimpinan tertinggi untuk memutuskan perkara itu.

“Kalau saya diizinkan bertanding, insya-Allah saya akan teruskan membantu rakyat. Undilah saya jika saya dicalonkan,” jawabnya.-MalaysiaGazette