Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris (tengah).

KUALA LUMPUR – Persidangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu menyokong usaha pemulihan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Ketua Bahagian itu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, keputusan itu diputuskan pada Persidangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Terengganu yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Selain itu, mesyuarat yang sama juga bersetuju dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta memberi sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri (PM).

Najmil Faiz berkata, pada masa yang sama, bahagian tersebut juga memberi kepercayaan penuh kepada Top Five UMNO untuk berbincang dan memutuskan strategi UMNO bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jelas beliau, hari ini, pembangkang tiada modal untuk menyerang UMNO dan serangan mereka hanya berteraskan persepsi sahaja.

“Misalnya, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional sering mengatakan UMNO akan mencalonkan presiden sebagai PM10 apabila menang PRU-15 sedangkan perkara ini adalah fitnah.

“Presiden UMNO sendiri menyokong Ismail Sabri sebagai calon PM daripada UMNO dan perkara ini telah diputuskan MKT UMNO.

“Keputusan ini adalah secara kolektif iaitu melibatkan suara akar umbi di bahagian dan juga cawangan. Inilah keistimewaan UMNO. Bukannya seperi PN dan PH yang ketandusan calon PM. – MalaysiaGazette