Seramai 67 mangsa banjir masih ditempatkan di PPS Langkawi dan Changlun, Kedah.

ALOR SETAR – Seramai 67 mangsa banjir di Langkawi dan Kubang Pasu masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, jumlah mangsa terdiri daripada 16 keluarga.

Seramai 43 mangsa banjir dari di Langkawi masih ditempatkan di PPS Dewan Syifa di Padang Matsirat manakala bagi daerah Kubang Pasu pula, seramai 24 mangsa masih ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun.

“Terdapat 18 kawasan terjejas di Langkawi dan antaranya adalah Kampung Teluk Yu, Kampung Sungai Itau, Kampung Kilim, Kampung Tua, Tanjung Rhu, Kampung Pasir Hitam, Kampung Telaga Ayer Hangat, Kampung Belanga Pecah dan Kampung Padang Gong

“Bagi daerah Kubang Pasu pula ia membabitkan Kampung Paya Lantau, Kampung Nangmi dan Kampung Nangmah di Changlun, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Muaz berkata, tiga sungai di negeri ini iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Pelubang di Kubang Pasu dan Sungai Pendang di Pendang mencatatkan paras amaran manakala Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR berada pada paras berjaga-jaga. – MalaysiaGazette