KAJANG – Keputusan kerajaan negeri pimpinan Pas dan Pakatan Harapan (PH) yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang bakal tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Penganalisis politk yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menjangka ia mungkin berlaku kerana rakyat merasakan mereka gila kuasa hingga tidak mahu membubarkan DUN.
“Di negeri-negeri degil ini, pemimpin-pemimpin negeri ini degil dan menyusahkan orang ramai. Bukan sahaja menyusahkan, membazir wang rakyat.
“Pada saya, ini satu tanda, kalau negara kita nak maju kita tak bolehlah ada pemimpin yang memikirkan pasal mereka sahaja…dia tak fikir kepentingan umum, membazir duit rakyat, buang masa, menyusahkan orang dan mungkin mereka akan tewas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta pandangan mengenai beberapa negeri yang masih belum membubarkan DUN bagi memberi laluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut Zaid, kerajaan akan membelanjakan ratusan juta untuk mengadakan pilihan raya dan urusan mengenai perkara berkenaan bukan mudah.
Katanya, adalah lebih baik pilihan raya bagi DUN dan Parlimen diadakan serentak bagi memudahkan rakyat memilih tanpa perlu mereka datang bagi tujuan sama dua kali.
“Kalau buat sekali kita pangkah kertas (undi) selesai. Ini pangkah satu balik, datang tiga bulan pangkah lagi.
“Kita belanja RM600 juta hingga RM700 juta (untuk adakan PRU). Duit yang kita boleh guna untuk buat sekolah, bagi subsidi, bagi pelepasan hutang macam-macam boleh dibuat duit tu. Tapi, pemimpin-pemimpin negeri ini degil, dia nak tunjuk dia punya kuasa…maka dia tak mahu bubar,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai langkah parti-parti politik yang menggunakan alasan banjir untuk menghalang PRU-15, Zaid mempersoalkan sama ada pemimpin politik terbabit lebih bijak daripada Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri dalam menentukan perkara itu.
“Banjir ini dia ingat dia lebih pandai daripada Perdana Menteri. Perdana Menteri pun ada penasihat dia juga, jabatan kaji cuaca pun ada beri maklumat juga. Bukan sahaja kepada Perdana Menteri tapi kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Maka, adakah mereka lebih pandai daripada Agong. Inilah sikap sombong yang saya nak kata, sikap dia sahaja yang tahu, dia bukan pak nujum pun…jadi wasting time, wasting money,” ujarnya. – MalaysiaGazette