KUANTAN – Seorang lelaki maut di tempat kejadian setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya bertembung dengan sebuah lori tanah berhampiran simpang ke Bukit Goh, di sini, pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 9 pagi.
Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi dan mendapati pemandu MPV tersebut tersepit di tempat duduk akibat bahagian hadapan kenderaan itu terperosok di bawah bahagian hadapan lori terbabit.
Tambah beliau, anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa.
Mangsa kemudian disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayatnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, ujarnya. – MalaysiaGazette