Dr. Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Datuk Radzi Jidin mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung video yang dimuat naik Zaharin Yassin di laman sosial semalam.

Video tersebut antara lain mendakwa Menteri Pendidikan itu dan Ketua Setiausaha KPM terlibat dalam penyelewengan berkaitan Surat Setuju Terima (SST) untuk kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan.

“Memandangkan nama saya dan KSU KPM turut disentuh, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPM untuk membuat laporan segera kepada SPRM supaya siasatan terhadap dakwaan tersebut dilaksanakan secepat mungkin.

“Saya juga berharap Saudara Zaharin dapat menyampaikan maklumat yang diterima beliau kepada SPRM,” katanya dalam kenyataan.

Zaharin dalam video ringkasnya itu mendakwa telah dimaklumkan mengenai penyelewengan di KPM di mana pihak yang mendapat SST diminta memberikan komisen 4 hingga 5 peratus kepada individu tertentu di kementerian untuk dana politik.

Beliau turut memetik nama Radzi dan ‘budak-budaknya’ serta KSU terlibat dalam penyelewengan tersebut

Video berdurasi 2:45 minit itu turut dimuat naik oleh Radzi bersama hantaran kenyataannya di laman Facebook. – MalaysiaGazette