TASEK GELUGOR – Inisiatif kerajaan menerusi Bajet 2023 hanya dapat direalisasikan jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, intipati Bajet 2023 yang dibentang di Parlimen adalah janji yang mampu dilaksanakan daripada segi kewangan.
Jelas beliau, bajet berkenaan berbeza dengan manifesto yang mana boleh ditipu dengan alasan ia bukan kitab suci.
“Kita kaji secara teliti sebelum bentang bajet di hadapan ahli Parlimen dan rakyat Malaysia. Kita bukan janji kosong.
“Manifesto ini macam-macam boleh, langit dan bintang semua dia janji, kalau boleh bulan tu nak dibawa jatuh ke riba tetapi cukuplah sekali kita terkena,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini hari ini.
Turut hadir pada program itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion yang dibentang pada 7 Oktober lalu adalah pelan tahunan terbesar dalam sejarah negara yang fokus kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan Kerajaan.
Daripada jumlah itu, katanya, RM1 bilion diperuntuk bagi program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) untuk penuhi sasaran Sifar Kemiskinan Tegar pada akhir 2025.
“Bantuan Keluarga juga terus ditambah dengan peruntukan sebanyak RM7.8 bilion yang memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima.
“Ini bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara yang menyaksikan Ketua Isi Keluarga yang berpendapatan bawah RM2,500 dan mempunyai lima anak atau lebih akan menerima bantuan RM2,500,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut menyangkal dakwaan perbelanjaan pembangunan dalam Bajet 2023 hanya akan menguntungkan taikun-taikun besar.
“Siapa yang akan mendapat manfaat dari bajet? Kontraktor G1 dan G2 bukan taikun,” jelasnya. – MalaysiaGazette