HULU SELANGOR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan sasaran 75 peratus bagi jumlah orang keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Kuala Kubu Baharu.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut merayu agar para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat.
“Untuk 11 haribulan ini, saya doakan supaya semua pengundi dapat keluar mengundi dan sebagai mana biasa, kita di SPR kita mahukan percentage yang baiklah.
“Pada saya kita letakkan target 75 peratus…kita merayulah kepada semua pengundi-pengundi di Hulu Selangor DUN Kuala Kubu Baharu ni dapat keluar mengundi.
“Jangan kita rasa tak apalah takyah keluar mengundi, sama je, ini biasalah keluhan-keluhan yang keluar daripada sahabat-sahabat kita…mungkin dia rasa tanggungjawab itu dipandang ringan tapi sebenarnya satu undi adalah membina kepada pentadbiran negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau pusat undi awal tentera di Kem Erskein 4 Rejimen Semboyan Diraja di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Ghani menjangkakan undi awal tentera mendapat peratusan yang sangat tinggi.
Ini kerana katanya, peringkat awal peratusan keluar mengundi adalah tinggi.
“Secara keseluruhan, sejam yang pertama 24 peratus, sejam yang kedua 54 peratus tapi untuk tentera ini percentage lagi dahsyat sudah mencapai 70 peratus.
“Insya-Allah dengan cuaca yang amat baik hari ini, saya menjangkakan undi awal akan dapat peratusan yang amat tinggilah,” ujarnya.
PRK Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.
DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini. – MalaysiaGazette