PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir menafikan beliau mengadakan pertemuan dengan bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Mahathir berkata, perkara itu tidak pernah berlaku ketika memegang jawatan Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH).
“Tidak pernah, tidak tahu,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini, hari ini.
Mahathir menjawab pertanyaan media mengenai dakwaan Tengku Adnan bahawa Mahathir pernah meminta pertolongan dengannya kerana tidak tahan dengan Amanah dan DAP.
Ketua UMNO Bahagian Putrajaya itu berkata, dia tidak sanggup mengkhianati kepercayaan rakyat dan parti selepas diajak untuk meninggalkan UMNO.
“Bila mereka (PH) menerajui kerajaan selama 22 bulan, Dr Mahathir diangkat menjadi perdana menteri sedangkan hanya topeng dan boneka sehinggakan dia meminta saya untuk membantunya serta meninggalkan UMNO.
“Come here help me, i can’t stand with the cabinet. I can’t take it from DAP and Amanah. Mahathir sendiri give up dengan mereka.
“Saya kata, no. Saya tak nak jatuhkan UMNO, tak reda saya. Nak mengkhianati lambang parti, saya tak reda. Bukan kerana dia bagi apa-apa kepada saya tetapi disebabkan datuk nenek moyang saya dahulu dalam pertubuhan ini telah memberikan kesenangan sehingga membentuk kerajaan yang stabil,” katanya dipetik daripada laporan UMNO Online. – MalaysiaGazette