KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendesak Pakatan Harapan (PH) agar memulakan segera rundingan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Tmbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, setakat ini, rundingan rasmi bersama PH mengenai pembahagian kerusi masih belum bermula.
“Ada yang tanya, MUDA akan tanding kerusi mana? Jujur saya sebut di sini, rundingan rasmi bersama PH masih belum bermula.
“Sebagai Pengarah Pilihan Raya MUDA, saya telah berhubung dengan pimpinan PH untuk adakan rundingan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amira Aisya berkata, perbicangan dengan Jawatankuasa Rundingan PH pada 30 September lalu hanya membincangkan perkara berkaitan gabungan PH dan MUDA.
Dalam pertemuan itu, MUDA telah dikenakan tiga syarat untuk dipersetujui bagi membolehkan parti itu menjadi sebahagian rakan kerjasama PH.
Syarat pertama MUDA perlu bersetuju dengan calon Perdana Menteri Majlis Presiden PH.
Kedua adalah untuk pastikan rundingan tidak menyentuh kepada kerusi sandangan sedia ada dan ketiga sekiranya MUDA ingin mengadakan perbincangan dengan parti ataupun koalisi lain parti itu perlu mendapat persetujuan Majlis Presiden PH.
“MUDA bersetuju dengan ketiga-tiga syarat tersebut. Pada 12 Oktober, PH memutuskan untuk adakan Pakatan Pilihan Raya kerana hal-hal teknikal seperti kelulusan ROS dan sebagainya. MUDA setuju.
“Bagi MUDA, fokus paling utama adalah bergerak bersama dalam PRU15. MUDA juga berharap agar sebagai sebuah pakatan Pilihanraya, MUDA dapat berunding dengan baik dan tertib dengan Pakatan Harapan.
“Semangat setiakawan dan kesaksamaan sebagai landasan rundingan,” tegasnya.
Amira Aisya berkata, jika ingin bergerak dalam sebuah gabungan MUDA akan pastikan prinsip kerusi sandangan sedia ada digunapakai untuk merunding kerusi.
Beliau menegaskan, agihan kerusi perlu dilakukan secara saksama.
“Fokus pilihan raya ini adalah untuk memberi tawaran terbaik kepada rakyat dalam melawan kerajaan UMNO-BN. Kita perlu kedepankan calon-calon yang berwibawa supaya rakyat tak perlu memilih yang terbaik antara dua kejahatan.
“Rakyat berhak memilih wakil rakyat yang benar benar adil, tekun bekerja dan punyai semangat berkhidmat untuk rakyat,” jelas beliau.
MUDA sebelum ini menetapkan mahu bertanding 15 kerusi Parlimen pada PRU-15. – MalaysiaGazette