Seorang lelaki yang merupakan pegawai khas direman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk membantu siasatan perolehan kenderaan oleh SPRM

PUTRAJAYA – Seorang pegawai khas ketua jabatan sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk hari ini direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penahanan lelaki itu susulan penahanan Datuk berkenaan semalam.

Menurut sumber, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam ketika tampil untuk memberi keterangan sebagai membantu siasatan kes itu.

Dia telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi sebelum Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan  dia direman selama tujuh hari sehingga 26 Oktober untuk membantu siasatan lanjut kes tersebut.

Semalam, seorang Ketua Jabatan agensi kerajaan bergelar Datuk telah direman kerana dipercayai menerima rasuah dan menyalahguna kuasa berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi tujuan perolehan empat buah kenderaan pada 2017.

Menurut sumber, perolehan empat buah kenderaan yang dibuat pada 2017 itu berjumlah lebih RM290,000 bertujuan untuk kegunaan sebuah program yang dilaksanakan oleh agensi tersebut.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan lelaki itu.

Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette

Ketua jabatan agensi kerajaan bergelar Datuk ditahan kes rasuah