Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap ketika hadir ke majlis perasmian Karnival Usahawan dan Koperasi ketika di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 OKTOBER 2022.

KUALA SELANGOR – Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini dipandu oleh pendekatan 3R iaitu Responsive (Responsif), Responsible (Bertanggungjawab) dan Reformist (Reformis).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berdasarkan sudut responsif, bajet ini sememangnya memberi berita baik kepada golongan usahawan.

Bagi merancakkan dan membina daya tahan sektor perniagaan, beliau berkata kerajaan telah mencadangkan untuk menambah baik program SemarakNiaga dengan nilai keseluruhannya kini berjumlah RM45 bilion.

“Sejumlah RM1.7 bilion daripadanya tersedia khas sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil.

“Selain itu, kerana kita mendengar, dan kita tahu, pasca pandemik, masih ada peniaga kecil yang sukar bangkit semula, kerajaan juga bercadang memberikan geran ‘one-off’ sebanyak 1,000 ringgit kepada semua syarikat PMKS berdaftar.

“Lebih kurang satu juta perniagaan bakal menerima manfaat ini dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion,” katanya ketika berucap pada Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Hadir sama pada majlis itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Zafrul berkata, mulai tahun taksiran 2023, kerajaan telah mencadangkan agar kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi RM100,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

Ini dijangka memberi penjimatan sehingga RM2,000 kepada sejumlah 150,000 peniaga dalam sektor PMKS.

“Kepada para usahawan yang berada di hadapan saya, apabila tiba waktu Bajet 2023 dilaksanakan, rebutlah peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette