Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid beramah mesra dengan pelajar selepas Majlis Anugerah Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mempunyai lebih banyak peluang untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila semakin banyak parti yang bertanding.

Namun Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pandangannya itu mungkin tidak sama dengan pandangan pihak lain.

“Baik untuk kita. Dah banyak sangat, kita menanglah semua. Itu tanggapan masing-masinglah kan (Kalau banyak parti perpecahan undi berlaku),” katanya ketika sidang media selepas Majlis Anugerah Institusi Pendidikan TVET@KPLB, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai sebuah negara demokrasi Malaysia terbuka dengan kewujudan pelbagai parti yang ingin bertanding pada pilihan raya.

“Dalam sebuah negara demokrasi semua akan bertanding, akan ada empat, lima, enam penjuru. Semakin banyak parti makin banyak pertandingan mungkin nanti 10 penjuru sebab semakin banyak parti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, senarai calon UMNO dijangka dimuktamad dalam masa sehari dua ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan PRU-15 pada 19 November.

Manakala, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 15 November. – MalaysiaGazette