Gordon James Ramsay. Foto Twitter

BESAR tanggungjawab menjadi seorang chef. Bukan sekadar menyediakan menu hidangan lazat dengan persembahan yang cantik tetapi memastikan hidangan yang berkhasiat dan mampu menjadi memori indah kepada yang menikmatinya. Sejak tahun 2004, tarikh 20 Oktober disambut sebagai Hari Chef Sedunia. Ia diperkenalkan oleh Chef Dr. Bill Gallagher seorang chef berketurunan Inggeris yang kemudiannya membina kerjaya di Afrika Selatan. Gastronomi adalah keistimewaan sentuhan chef beraksi dengan persembahan makanan. Ia membuatkan menu kelihatan lebih lazat seterusnya menimbulkan keterujaan untuk menikmatinya.

Inilah keistimewaan kerjaya chef. Pilihan menjadikan chef sebagai kerjaya adalah suatu keputusan besar. Ada yang belajar dan mempunyai kelulusan akademik formal dan layak memohon untuk menjadi seorang chef sama ada di restoran terkenal atau di hotel terkemuka. Ada juga yang mempunyai bakat semulajadi dan minat yang mendorong diri untuk menjadi seorang chef walaupun telah memiliki kerjaya lain.

Sama ada menjadi chef melalui pilihan kerjaya atau menjadi chef disebabkan oleh minat yang disokong oleh persekitaran yang positif, kemuncak kepada kerjaya seseorang chef ialah apabila telah terkenal dan menjadi sebutan ramai. Chef selebriti, adalah status luar biasa seorang chef yang menyamai reputasi seorang artis sehingga terkenal bukan sahaja di seluruh negara malahan di peringkat antarabangsa.

Antara chef selebriti yang terkenal di Malaysia ialah Chef Wan atau nama penuhnya Datuk Redzuawan Ismail yang sebelum ini merupakan seorang akauntan. Bakat semulajadi beliau yang minat kepada dunia masakan juga turun kepada anaknya. Hari ini Chef Wan mempunyai restoran yang menjadi lokasi tumpuan kepada mereka yang gemarkan makanan lazat di restoran mewah.

Chef Gordon James Ramsay adalah nama yang tidak perlu lagi diperkenalkan. Bukan sahaja terkenal di Malaysia, malahan di seluruh dunia walaupun dikatakan mempunyai perwatakan yang garang tetapi sentuhan masakannya adalah luar biasa. Penting untuk universiti dan kolej pengajian tempatan yang menawarkan pengajian dalam bidang kulinari untuk meletakkan tanda aras baharu bagi graduan yang mahu mengejar cita-cita menjadi seorang chef. Menjadi chef yang terkenal dan mempunyai signature-dish tersendiri adalah satu reputasi yang perlu dibina melalui pengalaman.

Budaya dan makan tidak dapat dipisahkan. Ianya merupakan satu cabang dari gastronomi. Perkataan gastronomi berasal dari bahasa Yunani kuno gastros yang membawa maksud ”perut” dan nómos yang maksudnya “pengetahuan” atau ”ilmu”. Ilmu gastronomi itu adalah pelbagai dan berbeza dari satu negara ke negara lain, wilayah dan bandar mengikut keunikan budaya setempat. Sumbangan besar seorang chef, adalah untuk memelihara serta mengekalkan keaslian sesuatu masakan. Ia penting bagi memastikan ketulenan serta identiti sesuatu makanan.

Sebarang perubahan atau olahan sesuatu masakan selalunya akan dibahas di kolum dan majalah oleh pengkritik makanan yang berkaliber. Ini penting, bagi memastikan chef tidak syok sendiri, tidak berlebih-lebihan dan berada pada landasan sepatutnya. Sebagai contoh, hidangan klasik yang diberi sentuan kontemporari, masakan timur yang dibaratkan serta percubaan-percubaan lain. Elemen seperti cara dan kuantiti yang dihidang, hiasan serta makanan iringannya (accompaniment) sangat perlu bagi memastikan keaslian sesuatu makanan itu dipelihara dan tidak hilang konsep serta identitinya. Usaha dan peranan seorang chef juga dapat dilihat dalam mendidik (educate) pelanggan serta penerimaan masyarakat tentang sesuatu menu yang baharu. Ini termasuk juga seperti cara-cara dimakan, kuantiti yang patut dipesan, minuman yang sesuai dan sebagainya.

Hal ini perlu, agar pelanggan dapat menikmati sesuatu masakan itu dengan cara sepatutnya serta merasai kualiti serta kepuasan sewaktu makan. Sebagai contoh, Butcher Chef yang terkenal berketurunan Turki iaitu Nusret Gökçe atau lebih dikenali sebagai Salt Bae. Beliau mempunyai gaya yang tersendiri dengan memperkenalkan teknik memperkasakan daging yang telah dimasak. Teknik dan cara beliau, kini menjadi ikutan dan amalan di kebanyakan restoran terkemuka. Di Malaysia, reputasi Chef Mus atau Mustaffa Othman dengan rangkaian Restoran Men’ate di seluruh negara turut sama menjadi fenomena.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia, menjejaskan operasi perniagaan industri perhotelan. Malaysia tidak terkecuali apabila pandemik tersebut membawa kepada penutupan beberapa rangkaian hotel mewah. Ini termasuklah beberapa jenama hotel terkenal di bandar-bandar besar negara yang telah bertapak sejak puluhan tahun lamanya. Kerana larangan untuk makan di restoran, kerjaya chef berevolusi apabila lahir perniagaan dari rumah atau menguruskan restoran dengan memanfaatkan kemudahan penghantar makanan kepada pelanggan.

Situasi tersebut kekal sehingga ini apabila sektor penghantaran makanan memberi peluang pekerjaan kepada ramai penunggang motosikal dengan menjadikan pelbagai menu lazat sebagai mata pencarian. Makanan yang dipesan melalui aplikasi elektronik, dihantar ke pelbagai destinasi untuk dinikmati sama ada di rumah atau di tempat kerja, sekali gus menuntut chef supaya lebih kreatif dalam memberikan persaingan kepada pasaran. Menu yang lazat dengan pembungkusan yang kreatif sudah pasti menjadi pilihan ramai.

Dengan perkembangan dalam dan luar negara yang semakin baik, industri perhotelan sudah kembali berkembang pesat. Ini membuka peluang kepada chef untuk membina semula kerjaya mereka sama ada di rangkaian hotel terkemuka dalam atau luar negara. Sudah pasti cabaran dalam sektor perhotelan pada hari ini sedia untuk diteroka bersama antara generasi baharu chef dan kumpulan chef yang lebih berpengalaman. Kombinasi lama dan baharu, pasti membuahkan hasil dan peningkatan produktiviti kepada industri.

Tanggungjawab chef, bukan sahaja menjadi tukang masak profesional di dapur. Tetapi juga memainkan peranan sebagai seorang pemimpin untuk mengetuai dapurnya dalam kerja-kerja merancang, membimbing dan menunjuk ajar supaya terlahir lebih ramai chef profesional yang mampu memberi sentuhan luar biasa. Hidangan lazat sering dikaitkan dengan kenangan indah dalam kehidupan.

Tanpa seorang chef yang berkaliber tidak mungkin lahir menu makanan lazat di dunia ini. Dengan potensi besar industri makanan di Malaysia, kerjaya sebagai seorang chef menjanjikan tempat dalam masyarakat apatah lagi fenomena viral di media sosial yang mengangkat lokasi popular atau luar biasa yang pasti mahu dicuba oleh setiap rakyat Malaysia. Ini sekaligus bakal menjulang pelancongan gastronomi yang akan menjana ekonomi domestik sekaligus mempromosikan produk pelancongan tempatan. Selamat menyambut Hari Chef Sedunia buat semua chef luar biasa negara!

Oleh: Ts. Mohd Rafizi Rahmad
Timbalan Pendaftar Kanan
Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) UiTM &

 

 

Khairul Hidayat Rezo

Khairul Hidayat Rezo
Pensyarah Kanan/Chef
Jabatan Kulinari
Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan
UiTM Cawangan Pulau Pinang