Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pengendali forklift warga asing yang tidak mempunyai lesen ketika Operasi Khas Pemandu Warga Asing di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 58 kenderaan pelbagai jenis disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.

Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Zulkifly Ismail berkata, operasi dibuat bagi memastikan jalan raya bebas daripada pemandu warga asing yang tidak mempunyai lesen serta salah guna kenderaan.

“Ops PEWA kali ini menfokuskan kepada kenderaan perdagangan yang diubah suai untuk pelbagai aktiviti. Daripada 58 kenderaan yang disita, ia membabitkan lapan lori, 12 van, 25 motosikal, enam forklift dan tujuh motosikal beroda tiga,” katanya pada sidang media hari ini.

Timbalan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zulkifly Ismail. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 OKTOBER 2022.

Menurut Zulkifly, semua pemilik kenderaan tidak dibenarkan memberi kebenaran kepada warga asing untuk memandu kenderaan sekiranya mereka tiada lesen serta dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kita dapati terdapat segelintir rakyat Malaysia yang membenarkan mereka menyewa atau guna kenderaan milik warga tempatan tanpa lesen. Tindakan penguatkuasaan ke atas pemilik kenderaan berdaftar boleh diambil jika bersalah,” ujarnya.

Jelas Zulkifly, sebanyak 239 notis dikeluarkan dengan 143 daripadanya didapati tiada lesen, 66 saman pula kerana insurans tamat tempoh dan bakinya atas lain-lain kesalahan.

Operasi selama tiga jam yang bermula pukul 7 pagi itu turut melibatkan Jabatan Imigresen dengan sebanyak 52 warga asing ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Warga asing yang ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia dibawa menaiki trak ketika JPJ melaksanakan Operasi Khas Pemandu Warga Asing di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 OKTOBER 2022.

Ia membabitkan sebanyak 16 warga Myanmar, Bangladesh (16), Indonesia (enam) serta dua orang warga India yang ditahan menerusi kekuatan anggota seramai 79 orang termasuk tujuh dari Imigresen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast