Amira Aisya Abdul Aziz. - Foto AFFAN FAUZI, 06 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menyediakan prosedur operasi standard (SOP) sekiranya banjir berlaku ketika pilihan raya berlangsung.

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz melahirkan kebimbangan terhadap tarikh-tarikh yang dipilih oleh SPR berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya ikut rapat dengan pengumuman oleh SPR tengah hari tadi berkenaan tarikh-tarikh penting bagi pilihan raya umum yang ke-15.

“Tetapi saya risau dengan persiapan SPR untuk menghadapi pilihan raya tersebut. Kalau kita tengok sekarang ni pun banyak kawasan dah naik air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amira Aisya berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh SPR sekiranya bencana banjir berlaku adalah mengenai tempoh masa pengundian.

Selain itu SPR juga perlu menyediakan pelan kecemasan jika pusat mengundi dinaiki air.

“Saya gesa SPR untuk sediakan SOP secepat mungkin sebagai langkah menghadapi pilihan raya sewaktu musim banjir.

“Adakah pengundi diberi masa lebih untuk mengundi? Ataupun pihak SPR ada pelan jika Pusat Daerah Mengundi terlibat dengan banjir?” tanya beliau.

Katanya, sebagai Pengarah Pilihanraya MUDA, beliau sudah tentu akan berkempen habis-habisan.

Namun jika berlaku banjir sewaktu hari pengundian parti itu akan memberi fokus untuk membantu mangsa banjir.

Amira Aisya turut meminta SPR untuk memudahkan proses pengundian bagi pelajar yang menetap di Sabah dan Sarawak.

Kumpulan itu sepatutnya diberi kelonggaran yang sama untuk mengundi melalui undi pos.

Selain itu Amira Aisya turut menimbulkan persoalan mengenai sistem pengundian bagi golongan orang kelainan upaya.

“Saya masih tidak nampak lagi inisiatif untuk memastikan golongan OKU dapat aksesibiliti untuk proses pengundian seperti menyediakan kertas undi dalam bentuk braille dan sebagainya,” katanya.

SPR hari ini menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian sementara tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting itu berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya, Sabah akan turut diadakan serentak dengan PRU15 bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan. – MalaysiaGazette