Kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) didakwa membohongi rakyat dalam isu kilang memproses nadir bumi milik Lynas di Kuantan.

Pentadbir Facebook Najib Razak berkata, PH telah berjanji kepada rakyat untuk menutup kilang tersebut sekiranya mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, katanya, mereka gagal menunaikan janji tersebut kerana ‘tersepit’ akibat pinjaman kira-kira RM8 bilion dalam bentuk Bon Samurai.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh bekas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang menjelaskan, kerajaan PH tersepit berhubung isu Lynas kerana pihak yang mendapat manfaat daripada hasil nadir bumi diproses di kilang tersebut ialah Jepun.

“Pada awal 2019, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pernah mengadu bahawa dia terpaksa berkorban Raya Tahun Baharu Cina untuk berlepas ke Jepun bagi meminjam wang.

“Akhirnya, dia dan kerajaan PH berjaya meminjam sekitar RM8 bilion dalam bentuk Bon Samurai,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Isu kilang Lynas merupakan antara modal yang digunakan oleh PH untuk menyerang Barisan Nasional (BN) sebelum PRU-14.

Namun, kerajaan PH kemudian dikecam rakyat kerana membenarkan kilang tersebut terus beroperasi.

Fuziah dalam surat terbuka kepada rakyat pada 4 Ogos 2009 memberi alasan pelabur-pelabur dari Jepun mungkin tidak berdiam diri sekiranya kilang Lynas tidak dapat membekalkan unsur nadir bumi kepada mereka.

“Selepas PH pinjam dari Jepun, mungkin Lynas dah tak lagi radioaktif dan tak akan menyebabkan mutasi seperti pernah digambarkan mereka dalam berpuluh-puluh video-video propaganda menipu zaman silam mereka,” kata sinis pentadbir Facebook Najib Razak. – MalaysiaGazette