KUANTAN – Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 2 di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM4,800.
Bagaimanapun tertuduh, Rasip Majid, 53, mengaku tidak bersalah selepas 24 kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang suapan sebanyak RM200 bagi setiap 24 transaksi pemindahan atas talian daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Rasip dituduh melakukan perbuatan itu sejak 7 Disember 2016 sehingga 15 Oktober 2019 ketika betugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Hakim membenarkan permohonan Timbalan Pendakwaraya, Siti Sarah Zainal Abiddin untuk mengenakan RM5,000 wang jaminan terhadapnya walaupun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan.
Tertuduh memaklumkan dia masih menanggung kedua ibu-bapa, isteri yang tidak bekerja serta anak yang masih bersekolah dengan pendapatannya kira-kira RM6,000 sebulan.
Memandangkan tertuduh masih bertugas di Balai Polis Merlimau, Melaka, hakim turut mengenakan syarat untuk melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Merlimau sebulan sekali bermula November sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menetapkan 21 November depan untuk pelantikan peguam dan sebutan semula kes. – MalaysiaGazette