Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika hadir ke majlis perasmian Karnival Usahawan dan Koperasi ketika di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 OKTOBER 2022.

KUALA SELANGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menempelak kerajaan Selangor yang didakwa cuba menghalang penganjuran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM)  di Kuala Selangor yang diadakan hari ini.

Beliau berkata, pihak penganjur, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan berdepan kesukaran apabila tidak diberi kebenaran mengadakan program itu pada mulanya.

“Saya sudah nampak kebangkitan (rakyat Selangor). Saya difahamkan agak sukar untuk melaksanakan program hari ini. Dimaklumkan kerajaan Negeri Selangor tidak bersetuu dan tidak membenarkan penggunaan tapak ini untuk program.

“Nasib baik tapak program ini tapak swasta, jadi mereka tidak boleh halang, ini tapak swasta. Kita buat ini demi kepentingan penjaja usahawan di Selangor.

“Bukan kita buat program ini untuk berkempen tapi beri ruang peniaga kecil usahawan kecil tetapi mereka tidak bagi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan di sini hari ini.

Kira-kira 10,000 usahawan hadir pada majlis itu.

Ismail Sabri berkata, sikap ditunjukkan kerajaan negeri itu tidak seharusnya berlaku demi kepentingan usahawan kecil dan sederhana.

“Begitulah sebenarnya sikap mereka terhadap golongan penjaja seperti tuan-tuan dan puan-puan. Nasib baik kita ada Menteri KUSKOP prihatin menjaga kepentingan usahawan semua.

“Kita tidak kira walaupun tidak dibenarkan tapi kita berusaha pastikan program membela usahawan ini kita laksanakan juga,” tambahnya.

Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. – MalaysiaGazette