MELAKA – Kelicikan enam tokan yang dipercayai aktif mengedar dadah sekitar Kandang dan Malim, di sini, sejak setahun lalu berakhir apabila mereka diberkas polis, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua suspek berusia antara 33 hingga 50 tahun itu diberkas dalam tiga serbuan berasingan antara jam 2 sehingga 7.15 malam.
Menurutnya, serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah itu turut berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 960.72 gram dan syabu 4.4 gram keseluruhannya dianggarkan bernilai RM32,299.98.
“Dalam serbuan pertama, kita berjaya menahan seorang tokan lelaki berusia 44 tahun yang sedang menunggang motosikal di Taman Permatang Pasir Perdana membawa bersama heroin seberat 878.86 gram dipercayai untuk diedarkan kepada pelanggannya.
“Dalam beberapa serbuan seterusnya kita berjaya menahan lima lagi tokan lelaki dan hasil soal siasat kesemua suspek aktif mengedar bagi pasaran di sekitar kawasan Kandang dan Malim sejak setahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, ujian saringan air kencing juga mendapati keenam-enam mereka positif dadah jenis morfin dan methamphetamine selain turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Dalam serbuan itu, jelas beliau, pihak polis turut menyita dua buah motosikal jenis Yamaha 125Z dan Honda RS150 serta sebuah Proton Waja keseluruhannya dianggarkan bernilai RM46,000.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 24 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B/39A(2)/15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette.