KUALA SELANGOR – Tempoh 14 hari untuk berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah mencukupi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Naib Presiden UMNO itu memberitahu, adalah menjadi tanggungjawab setiap parti politik untuk membuat perancangan bagi memastikan tempoh yang diberikan SPR mencukupi untuk berkempen bagi menghadapi pilihan raya.
“(Selama) 14 hari cukup. Dulu pun 14 hari, ada masa kurang dari 14 hari, jadi parti-parti politik kena buat perancangan masing-masing untuk pastikan cukup masa 14 hari tersebut. Kalau terlampau lama orang mengadu juga terlalu lama, penat kerja dan macam-macam.
“Jadi SPR dah tentukan, jadi kita akur dengan SPR dan bekerja berdasarkan jumlah hari yang disediakan untuk berkempen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor di Puncak Alam, di sini, hari ini.
Terdahulu hari ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani mengumumkan 19 November depan sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November manakala, pengundian awal pada 15 November.
Berikutan itu, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 5 November sehingga pukul 11.59 malam, 18 November 2022.
Ditanya sama ada UMNO akan mengadakan kerjasama dengan parti lain, Ismail Sabri berkata, soal kerjasama dengan parti lain adalah perkara besar yang akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO.
Ujarnya, fokus utama parti pada masa ini adalah untuk memenangi PRU15.
“Kita perlu menang PRU dulu, baru kita nak cakap soal nak gabung ke berunding dengan sesiapa,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera berkata, beliau mahu mempertahankan kerusi Parlimen Bera yang disandang namun, semua itu bergantung kepada penggumuman kelak.
Menjawab pertanyaan media sama ada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan dicalonkan untuk bertanding di kerusi Kuala Selangor, beliau berkata, calon-calon yang bertanding akan diumumkan Presiden UMNO atau pengerusi perhubungan negeri masing-masing. – MalaysiaGazette