Zainol Samah

MELAKA – Seramai 1,800 pegawai dan anggota polis di negeri ini bersiap sedia ditugaskan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan menghadapi musim banjir bulan depan.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan kekuatan 2,572 polis di negeri ini untuk digerakkan ke semua enam kerusi Parlimen termasuk 250 personel lagi untuk ke dan lokasi-lokasi berisiko banjir.

“Cuti untuk semua pegawai dan anggota juga telah dibekukan agar Kontinjen Melaka berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik bagi memastikan kelancaran perjalanan PRU-15 bermula 5 November ini.

“Kita juga telah membuat persediaan rapi dengan menyediakan 250 pegawai dan anggota serta kelengkapan mencukupi untuk digerakkan membantu masyarakat menghadapi banjir pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Kempen Cegah Jenayah dan Walkabout Sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2022 di Jalan Bendahara, di sini, malam tadi.

Zainol beramah mesra dengan masyarakat India selepas melancarkan Kempen Cegah Jenayah dan Walkabout Sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2022 di Jalan Bendahara, Melaka, malam tadi.

Mengulas lanjut Zainol berkata, pihaknya turut mengenal pasti kerusi Parlimen panas daripada enam kerusi di seluruh negeri yang dijangka menjadi tumpuan jentera kempen parti bertanding.

“Cumanya kita tak perlulah bagitahu berapa kawasan dan kerusi mana kerana keutamaannya adalah memastikan kelancaran proses pilihan raya bermula dari tarikh penamaan calon 5 November sehinggalah hari mengundi pada 19 November.

“Jadi para pengundi tidak perlu takut untuk keluar melaksanakan tanggungjawab mereka pada hari berkenaan,” katanya

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, setakat ini Polis Melaka belum menerima permohonan permit mengendalikan dron daripada mana-mana parti bertanding untuk tujuan berkempen. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast