Hee Sem meninjau bekalan telur selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 di Pasaraya Mydin MITC, Melaka hari ini.

MELAKA – Isu kekurangan bekalan telur ayam antara lima hingga 10 peratus di pasaran yang dihadapi pengguna sejak kebelakangan ini dijangka pulih akhir bulan ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Roziah Abudin berkata, pemeriksaan mendapati masalah itu berpunca daripada kekurangan bekalan yang berlaku peringkat pengeluar.

“Bekalan telur itu ada tapi tidak mencukupi di peringkat peruncit berpunca daripada kos pengeluaran yang meningkat.

“Kita jangkakan kekurangan pengeluaran ini akan dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan lagi setelah kerajaan menaikkan subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C daripada tiga sen ketika ini kepada lapan sen,” katanya.

Roziah Abudin

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 di Pasaraya Mydin MITC di sini hari ini.

Pelancaran disempurnakan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Ngwe Hee Sem.

Hadir sama Pengarah KPDNHEP negeri Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Roziah berkata, kekurangan bekalan juga berpunca apabila terdapat ladang-ladang ternakan ayam telur berskala kecil terpaksa ditutup kerana kos operasi kurang efisen jika dibandingkan dengan ladang-ladang besar.

“Daripada laporan diterima, ada sebanyak 21 ladang terpaksa ditutup dan pengurangan bekalan itu terpaksa ditampung oleh syarikat-syarikat lain,” katanya. – MalaysiaGazette