KUALA LUMPUR – Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) akan menggerakkan lebih 1,000 sukarelawan di seluruh negara dalam usaha membantu mangsa banjir pada musim tengkujuh akan datang.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Won berkata, ia termasuk seramai 132 pasukan elit yang dilatih khas oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan bertugas pada bila-bila masa yang diperlukan.
“NADMA telah menyenaraikan 5,496 kawasan di seluruh negara sebagai lokasi panas banjir. Tumpuan kita adalah kepada negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Kita turut akan beri tumpuan kepada negeri Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya pada Program Bantuan Banjir Monsoon CRSM di Wisma MCA hari ini.

Tambah Sin Won, ketika ini terdapat kira-kira 1,300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Sahabat NADMA melibatkan kira-kira 27,000 ahli di seluruh negara.
Beliau turut menasihati penduduk di kawasan terjejas banjir supaya menyediakan beg kecemasan bencana yang mengandungi dokumen penting dan barangan keperluan asas sebagai langkah menghadapi bencana itu.
“Ini adalah salah satu inisiatif pengurangan risiko bencana yang disyorkan kerajaan tetapi penduduk diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan sentiasa peka terhadap amaran banjir melalui ramalan kaji cuaca, hebahan media mahupun agensi yang berkaitan,” ujarnya.
Berdasarkan senarai NADMA, Sarawak mempunyai jumlah kawasan kerap dilanda banjir tertinggi dengan jumlah 1,034 lokasi panas, diikuti Pahang (763) dan Kelantan (595).
Kawasan hotspot lain ialah Johor (432), Negeri Sembilan (396), Kedah (373), Selangor (336) dan Terengganu (300).
Mengulas lanjut, Sin Won berkata, bantuan tidak terhad kepada menghantar bekalan makanan dan proses pemindahan semata-mata.
“Kita turut menyumbangkan bantuan tenaga kerja untuk membersihkan rumah selepas banjir. Penduduk yang terlibat dengan musibah ini boleh meminta bantuan CRSM untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pembinaan semula selepas banjir.
“Bantuan seumpama itu amat diperlukan terutama oleh keluarga yang kurang bernasib baik dan warga emas,” katanya. -MalaysiaGazette