Petugas TNB sedang melakukan persiapan.- Foto TNB

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir termasuk menyediakan 296 set janakuasa bergerak di seluruh negara.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, syarikat itu memastikan soal pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan berkesan ketika bencana tersebut melanda negara.

Katanya, TNB akan meminimumkan kerosakan pepasangan demi mengutamakan keselamatan orang awam.

Wan Nazmy Wan Mahmood

Bantuan logistik di lokasi-lokasi yang sering dilanda banjir telah dilengkapkan termasuk penyediaan 227 set janakuasa kecil mudah alih, 279 buah lori, 885 kenderaan pacuan empat roda, 38 buah bot dan 108 lampu limpah.

“Seperti biasa setiap kali menjelang musim tengkujuh, TNB membuat latihan demi latihan supaya anggota kerja sentiasa berada dalam keadaan siap siaga serta memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing apabila berlaku banjir,” kata Wan Nazmy dalam kenyataan.

Menurut beliau lebih 2,500 petugas daripada Bahagian Rangkaian Pembahagian telah disenaraikan untuk menganggotai Pasukan Kecemasan Keselamatan.

Pasukan tersebut akan bertugas 24 jam bagi melakukan kerja-kerja segera di kawasan berlaku gangguan akibat bencana berkenaan.

Menurut Wan Nazmy, TNB juga bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah

Syarikat pembekalan tenaga elektrik itu juga akan membuka bilik-bilik gerakan di negeri-negeri yang terbabit banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.

Pusat-Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang dikenalpasti juga akan diperiksa bagi memastikan bekalan elektriknya berada dalam keadaan baik.

“Dalam suasana banjir terutama premis yang dinaiki air, orang ramai dinasihatkan agar berhatihati menggunakan peralatan elektrik dan suisnya. Jangan menyentuhnya dengan tangan basah dan lembap kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik.”

“Selepas banjir surut pula, pemeriksaan menyeluruh pendawaian premis perlu dilakukan oleh kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan ia selamat digunakan,” tambah Wan Nazmy.

Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette