Faridzul Azlan

KUALA LUMPUR – Tindakan PKR untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 merupakan satu perangkap kepada Presiden PKR itu.

Pengerusi Pemuda BN Tambun Faridzul Azlan berkata, Anwar sengaja dihantar bertanding ke Parlimen itu bagi ‘membunuh’ karier politik beliau.

“Kami berpendapat bahawa rencana perletakkan DSAI sebagai calon di Parlimen Tambun merupakan satu perangkap yang dipasang oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli untuk menguburkan riwayat politik Datuk Seri Anwar Ibrahim,” dakwa Faridzul.

Sementara itu Faridzul berkata, BN telah bersedia untuk menebus kembali kerusi Parlimen Tambun yang jatuh kepada parti lawan pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, BN tidak gentar dengan kehadiran Anwar untuk bertanding di Parlimen Tambun.

“Malah, Pergerakkan Pemuda BN Tambun sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja dan dari parti manapun yang berhasrat untuk menentang Barisan Nasional di semua kerusi yang dipertandingkan di sini termasuk kerusi DUN Manjoi dan DUN Hulu Kinta.

“Tiada istilah mengalah sebelum bertempur dalam kamus perjuangan Pergerakan Pemuda BN Tambun,” kata Faridzul dalam kenyataan.

Faridzul yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia yakin pengundi Tambun bijak dalam menilai calon yang layak untuk mewakili mereka di Parlimen.

Beliau yakin pengundi akan memilih calon BN yang didakwa dapat menjamin kesejahteraan dan kemakmuran kepada masyarakat Tambun.

“Kami mengajak seluruh pengundi di Tambun untuk menolak calon lompat kawasan seperti Anwar yang bukan hanya tidak setia pada rakyat yang diwakilinya.

“Malah hanya bertanding demi kepentingan politik peribadi bukannya untuk berbakti kepada rakyat,” katanya.

Pada 20 Oktober lalu Anwar yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Port Dickson mengesahkan akan bertanding di Parlimen Tambun.

Presiden PKR itu berkata keputusan itu dibuat sebagai menyahut cabaran untuk bertanding di kerusi bukan tradisi Pakatan Harapan (PH) seperti pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

Penyandang Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu turut mengumumkan akan mempertahankan kerusi itu.

Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menang dengan majoriti 5,320 undi dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN) dan Ibrahim Zakaria (Pas).

Ahmad Faizal mendapat 38,661 undi, Ahmad Husni (33,341) dan Muhamad Zulkifli (14,948).

Sejumlah 66.32 peratus pengundi di parlimen itu adalah Melayu, Cina (20.22 peratus), India (11.42 peratus) dan Orang Asli (1.08 peratus). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast