BERA – Terpulang kepada Tun Mahathir Mohamad untuk ‘berkawan’ dengan siapa, kata Perdana Menteri.
“Terserlah pada dia (Mahathir). Nak berkawan dengan Anwar ke, DAP ke, nak berkawan dengan siapa ke, terserlah.
“Afterall dulu pun dia pernah berkawan. Hak dialah kan,” katanya.
Jawapan ringkas oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya kenyataan Mahathir untuk bekerjasama semula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lama lagi.
Dalam kenyataan semalam, Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, beliau tidak kisah dituduh tidak tahu malu kerana bekerjasama dengan musuh politiknyacdemi untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Mahathir berkata, kata-kata cerca bahawa beliau menjilat semula ludah kerana bekerjasama dengan Presiden PKR untuk mengalahkan UMNO dan BN tidak memberi sebarang kesan terhadapnya.
Beliau mendakwa Najib, UMNO dan BN adalah “kejahatan” yang perlu ditewaskan.
“Kerana itu saya bersedia bertemu dengan Datuk Seri Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya.
Untuk rekod, sebelum ini Mahathir juga berkata partinya sedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette