KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan menolak tawaran Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bekerjasama dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti itu akan menghadapi pilihan raya umum akan datang tanpa sebarang penglibatan daripada Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) tersebut.
Bagaimanapun Saifuddin mengucapkan selamat maju jaya kepada Mahathir ‘sekiranya’ beliau turut bertanding dalam PRU yang akan diadakan bulan depan.
“Kita berkongsi tujuan yang sama untuk kalahkan BN dan PN. Tapi Pakatan Harapan akan hadapi PRU15 kali ini sebagai gabungan tanpa Mahathir.
“Kami doa Mahathir diberi kesihatan yang baik dan jika Mahathir pilih masuk bertanding kami ucap selamat maju jaya,” ciap Saifuddin ringkas di Twitter.
Semalam media melaporkan Mahathir yang merupakan Pengerusi Pejuang sekali lagi menghulurkan tangan pendamaian dengan Anwar.
Mahathir berkata, jika perlu memulakan langkah itu, dia akan melakukannya demi mengelakkan kerosakan pada negara.
“Saya bersedia bertemu dengan Datuk Seri Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya.
“Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan,” katanya.
Penyandang kerusi parlimen Langkawi itu juga berkata, dia tidak kisah jika dengan tindakan itu akan ada pihdak menganggap dia menjilat semula ludah sendiri.
Anwar yang merupakan Pengerusi PH sebelum itu dilaporkan berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk bertemu dan berbincang dengan Mahathir mengenai kerjasama politik menjelang PRU15.
Namun Anwar berkata, perkara yang ditekankan PH ialah berkenaan kepentingan untuk melawan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).- MalaysiaGazette
PH tolong jangan angkuh, benarkan Mahathir, Anwar berbincang – Pejuang