HULU SELANGOR – “Saya cukup faham mengapa UMNO Hulu Selangor mahukan kerusi Parlimen Hulu Selangor yang majoriti penduduknya adalah Melayu. Saya tidak akan sesekali bersengketa dalam isu ini sebaliknya biarkan kepimpinan tertinggi BN membuat keputusan terbaik”.
Demikian kata Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan yang disebut-sebut sebagai calon bertanding kerusi Parlimen Hulu Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Mohan yang juga Ahli Dewan Negara itu telah mula turun padang dan berkhidmat di Parlimen Hulu Selangor sejak awal 2019 lagi dan mempunyai sokongan daripada penduduk setempat sejak beberapa tahun ini.
Mohan memberitahu MalaysiaGazette, fokus utamanya adalah kemenangan besar dan kembali merampas kerusi Parlimen di Selangor itu.
”Ini bukan masa untuk bersengketa, ada banyak ura-ura kononnya berlakunya unsur sabotaj dalam kalangan kita, soalnya sekarang siapa musuh utama kita? Adakah komponen kita sendiri atau PH? Adakah kita akan bertindak sabotaj kerusi ini dan berikan undi kita kepada PH pula?
”Saya rasa ini tidak akan berlaku. Jika benar ada pihak yang hendakkan kerusi ini, kita akan bincang dengan cara elok dan biarkan pimpinan tertinggi membuat keputusan terbaik kerana akhirnya apa yang kita mahu adalah kemenangan dan bukan sebaliknya.
”Apa sahaja kehendak pimpinan tertinggi BN, kita dengan semangat setiakawan akan mematuhinya tanpa was-was. Saya mungkin telah mula turun padang sejak 2019 tetapi apapun semuanya terpulang kepada pemimpin kita. Saya berserah dengan harapan Parlimen Hulu Selangor kembali menjadi milik BN,” katanya hari ini.
Terdapat ura-ura UMNO Bahagian Hulu Selangor mahu mempertaruhkan calon mereka bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada PRU15 dan bukannya kepada MIC yang menganggap kerusi itu ada kerusi tradisi parti itu.
Dalam pada itu, Mohan berkata, beliau faham mengapa UMNO Hulu Selangor mahu kerusi itu diberikan kepada parti itu.
Ia kerana, majoriti atau 60 peratus penduduk di Hulu Selangor adalah Melayu.
Tetapi pada masa sama, Parlimen Hulu Selangor adalah kerusi tradisi MIC sejak sekian lama.
“Sebab itu, saya tidak berminat untuk melagakan mana-mana pihak kerana hakikatnya perjuangan sebagai satu komponen BN jauh lebih dalam diri saya, seandainya UMNO yang dapat kerusi Parlimen ini, saya akan beri sokongan tanpa berbelah bahagi kerana pada saya kemenangan besar sahaja menjadi fokus kita.
“Ingatlah, kemenangan ini adalah penting untuk rakyat yang sudah sekian lama menderita apatah lagi dengan keadaan politik yang tidak stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini, akhirnya keadaan ekonomi juga merosot dan menyebabkan rakyat bertambah susah. Kini kita perlukan sebuah kerajaan stabil, itu sahaja,” tegasnya.
Untuk makluman, pada PRU14, calon BN daripada MIC Datuk P. Kamalanathan gagal mempertahankan kerusi itu setelah tewas kepada calon PKR June Leow Hsiad Hui dengan majoriti 13,391 undi.
Parlimen Hulu Selangor adalah antara kerusi tradisi MIC dan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel pernah memenangi kerusi berkenaan sebanyak empat kali iaitu pada 1990, 1995, 1999 dan 2004. – MalaysiaGazette