Hasni Mohammad

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad percaya rakyat mahu proses demokrasi dijalankan dengan matang terutamanya di negeri selatan tanah air itu.

Merujuk kepada insiden provokasi semasa majlis makan malam anjuran MUDA, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, budaya politik seumpama itu tidak wajar menjadi amalan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Berkempen dan raihlah undi rakyat secara berhemah.

“Jangan jadikan Johor sarkas. Kita mesti lebih baik daripada ini,” katanya dalam ciapan di laman Twitter pagi ini.

Malam tadi sekumpulan anak muda bertindak menyerbu majlis Malam Mesra Muo anjuran MUDA dengan membaling mercun serta botol.

Tindakan provokasi itu telah menyebabkan ada kalangan hadirin cedera dan kenderaan rosak.

MUDA membuat laporan polis dan tiga ditahan bagi membantu siasatan insiden provokasi kedua program anjuran MUDA. – MalaysiaGazette