Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bercakap kepada media selepas mengadakan sesi walkabout sempena sambutan Deepavali di Little India, Brickfields, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – MIC mengesahkan parti itu mendapat sembilan kerusi Parlimen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15),19 November depan.

Angka itu berketepatan dengan jumlah kerusi yang diminta oleh parti itu sebelum ini.

“Setakat ini MIC sudah muktamad sembilan kerusi Parlimen.

“Sembilan kerusi yang MIC akan tanding ialah kerusi yang pernah ditandingi PRU lepas kecuali Cameron Highlands,” katanya ketika ditemui media selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan ke Little India dan Brickfields.

MIC sebelum ini menuntut kerusi Parlimen Sungai Siput yang menjadi kerusi tradisi parti berkenaan.

Parti ketiga terbesar dalam BN itu sebelum ini memenangi dua kerusi Parlimen iaitu Tapah yang disandang oleh Saravanan dan Parlimen Cameron Highlands yang kemudiannya diserahkan kepada UMNO.

Jelas Saravanan, MIC diberikan kerusi Parlimen Teluk Intan sebagai gantian untuk ditandingi.

Bagaimanapun, Saravanan berkata, MIC sedang mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan lebih kerusi untuk ditandingi.

“Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran dan Pengerusi BN (Ahmad Zahid) masih dalam perbincangan dan saya harap akan dapat tambahan,” katanya lagi.

Namun, tambah Saravanan lagi, parti itu tidak akan memberikan tekanan kepada Ahmad Zahid untuk memberikan kerusi yang lebih kepada MIC.

“Kita serah kepada pimpinan, MIC ini parti setia, kita tidak akan beri tekanan kepada pucuk pimpinan BN untuk beri kerusi tanbahan, tapi kita bincang,” katanya lagi.

Dalam PRU15, MIC turut akan bertanding di 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – MalaysiaGazette