Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz bercakap kepada media selepas menghadiri pertemuan dengan Jawatankuasa Rundingan Pakatan Harapan (PH) untuk membincangkan pembahagian kawasan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 23 OKTOBER 2022.

PETALING JAYA – Perbincangan antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Pakatan Harapan (PH) mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tela selesai 70 peratus.

Timbalan Presiden Parti MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, masih terdapat beberapa perkara lagi yang perlu dirungkai dan perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan lagi pada perjumpaan akan datang.

Beliau berkata, MUDA meminta supaya diberikan 15 kerusi untuk ditandingi namun, ianya bukanlah kerusi boleh menang dan ada juga kerusi yang PH mahukan.

“Setakat ini saya hanya boleh maklumkan Syed Saddiqlah (salah seorang calon MUDA yang akan bertanding mewakili PH), selebihnya saya akan maklumkan nanti,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat MUDA dan PH di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Amira yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, pihaknya mahu memastikan pakatan dalam pilihan raya itu dapat diselesaikan sebaik mungkin.

Sebelum ini MUDA meminta supaya pengagihan kerusi dengan PH bagi PRU15 dilakukan secara adil.

Presidennya, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman menegaskan, parti pimpinannya itu terbuka mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung hal itu dan cadangan menyertai PH juga sebenarnya sudah bermula sejak berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, MUDA juga menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen pada PRU akan datang termasuk di Parlimen Muar, yang kini diwakilinya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi memberitahu, pihaknya telah menerima senarai nama daripada ahli-ahli untuk pencalonan yang akan bertanding.

Ujarnya, ketika ini kesemua nama-nama itu sedang disenarai pendek menerusi rundingan yang dilakukan oleh MUDA. – MalaysiaGazette