KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang menjadi “tekong” job scam dengan menghantar mangsa dari sempadan Malaysia-Thailand ke Myanmar melalui laluan tikus telah kecundang.
China Press melaporkan, polis Thailand telah menahan pasangan keturunan Cina itu bersama pemandu warga Thai semasa mereka berada di selatan Thailand, dipercayai dalam perjalanan pulang ke Malaysia.
Pasangan berumur dalam lingkungan 20-an itu bertugas di Myanmar dan telah menipu mangsa ke negara itu sejak Februari atau Mac tahun ini dan dikehendaki polis Thailand.
Selepas mendapati suspek tersebut mahu balik ke Malaysia, pihak polis telah mengenal pasti kedudukan mereka dan melakukan tangkapan di sebuah resort di Hatyai.
Menurut China Press, pasangan suami isteri itu bekerja sebagai “pegawai sumber manusia” dalam sindiket dan peranan mereka adalah merekrut mangsa ke Myanmar.
Dari semasa ke semasa, mereka juga akan turun ke sempadan Malaysia-Thailand dan menjadi “tekong” untuk menghantar mangsa ke Myanmar.
Dalam perkembangan berkaitan, China Press melaporkan empat “ketua utama” yang menganiaya mangsa Malaysia kesemuanya merupakan orang Johor Bahru dan sesetengah mereka mempunyai rekod jenayah.
Empat orang tersebut bagaimanapun tidak menggunakan nama sebenar, tetapi memakai pelbagai gelaran semasa berada di Myanmar.
Mereka juga dilaporkan terlibat dalam menganiaya dan menyebabkan kematian rakyat Malaysia, Goi Zheng Feng yang ditipu ke Myanmar dan akhirnya diseksa dan meninggal dunia. – MalaysiaGazette