NV. Subbarow

GEORGE TOWN – Lesen mereka yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian wajar dibatalkan seumur hidup, saran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Ia susulan kejadian terbaharu yang mana dua pejalan kaki iaitu seorang wanita maut dan satu lagi parah dilanggar pemandu mabuk di Kajang, Selangor semalam.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, hilang kelayakan memiliki lesen memandu antara langkah pencegahan yang wajar ditimbangkan oleh pihak berkuasa.

Jelas beliau, ini kerana pemandu mabuk dilihat tidak bimbang dengan undang-undang dan kehidupan orang lain susulan masih meneruskan pemanduan meskipun berada dalam pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.

“Kita menggesa Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia mengenakan hukuman berat kepada pemandu yang mabuk dan menyebabkan kematian.

“Hukuman berat kepada pemandu berkenaan perlu dikenakan kerana menyebabkan kematian terhadap orang yang tidak bersalah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, CAP turut menggesa pihak berkuasa supaya terus mengesan pemandu mabuk berkenaan pada setiap hujung minggu.

“Apa juga alasan untuk memandu dalam keadaan mabuk dan mendatangkan bahaya kepada orang yang tidak bersalah tidak boleh diterima apatah lagi pada zaman sekarang yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pengangkutan awam termasuk e-hailing,” katanya.

Media tempatan semalam melaporkan, seorang wanita maut manakala seorang lagi wanita parah akibat dilanggar pemandu kereta mabuk ketika melintas jalan di Jalan Banting-Kajang (Jalan Reko) berhampiran simpang masuk ke Taman Sri Langat, Selangor. – MalaysiaGazette