Shahar Abdullah (tengah) mengunjungi Timbalan Pengerusi MIC Paya Besar, Selvarajah Narayanasamy di Taman Tas, Kuantan.

KUANTAN – Ketua Pemuda UMNO Pahang, Datuk Shahar Abdullah mengunci mulut mengenai kerusi yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

MalaysiaGazette difahamkan rundingan mengenai calon yang akan bertanding di 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih berjalan.

Bagaimanapun, penyandang kerusi Parlimen Paya Besar, Datuk Shahar Abdullah yang ditemui hari ini enggan mengulas sama ada beliau akan mempertahankan kerusi itu.

Beliau yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan I juga enggan mengulas mengenai tindakan Perikatan Nasional (PN) semalam yang dikatakan memberi laluan kepada calon Pas untuk menjadi Menteri Besar Pahang jika diberi mandat meneraju negeri itu.

Datuk Shahar Abdullah

“Saya tak boleh nak jawab lagi berkenaan itu. Hari ini biarlah kita meraikan semangat sambutan Hari Deepavali,” katanya selepas mengunjungi Timbalan Pengerusi MIC Paya Besar, Selvarajah Narayanasamy di Taman Tas, di sini, hari ini.

Katanya, sambutan Deepavali kali ini penuh bermakna kerana ia dapat mengerakkan silaturrahim sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum di bawah payung Keluarga Malaysia.

“Kita dapat merayakan Hari Deepavali dengan meriah sebagai tanda kemenangan kita berjaya melepasi pandemik.

“Sudah pasti, kekuatan kita adalah kekuatan kesepaduan berbilang kaum yang harus kita tunjukkan sebagai contoh kepada bukan sahaja masyarakat dunia, tapi paling penting kepada generasi muda yang sedang meniti menjadi dewasa,” ujarnya.-MalaysiaGazette