Tan Sri Noh Omar (dua dari kanan) dan Datuk KK Chua (kanan) hadir acara penganugerahan The 100 Most Influential Young Entrepreneurs (100 MIYE) baru-baru ini.

KUALA  LUMPUR – Anugerah berprestij keusahawan, The 100 Most Influential Young Entrepreneurs (100 MIYE) yang sebelum ini diadakan secara maya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini ia diadakan semula secara fizikal.

100MIYE adalah majlis penganugerahan yang memberi pengiktirafan kepada 100 usahawan muda paling berpengaruh berlangsung di Subang Skypark, Private Air Hanger, Shah Alam, baru-baru ini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Pengerusi Penganjur 100MIYE, Datuk KK Chua berkata, majlis anugerah itu diadakan bertujuan untuk menonjolkan dan mengiktiraf usahawan muda yang terbaik, cemerlang, bersemangat dan inovatif dalam perniagaan yang mereka
ceburi.

“Untuk menjadi usahawan yang berjaya sehingga boleh diangkat sebagai ikon bukanlah mudah.

“Mereka pasti akan sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran baru dan persaingan. Hanya mereka yang mempunyai sikap yang betul, keazaman dan kesungguhan dalam perniagaan yang diusahakan akan beroleh kejayaan.

“Usahawan perlu ada iltizam yang tinggi, bertanggungjawab dan memberikan komitmen dalam perniagaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Chua berkata, 100MIYE adalah acara tahunan anjuran majalah Entrepreneur Insight dan ini adalah penganjuran kali ketujuh.

Bagaimanapun jelas beliau, untuk tahun 2020 dan 2021, penganjuran 100MIYE dilakukan secara maya berikutan PKP.

Ujar beliau lagi, 100MIYE bukan sekadar pemberian anugerah tetapi membina komuniti usahawan bagi berkongsi pandangan dan pendapat dalam bidang perniagaan.

“Mengeratkan lagi komuniti rakan niaga ini, pemenang juga layak menyertai percutian tiga hari dua malam (Private Business Networking Retreat for 3D2N) untuk membina rangkaian perniagaan, berkongsi maklumat dan seterusnya boleh
membentuk kerjasama dalam perniagaan.

“Matlamat utama 100MIYE adalah memberi pengiktirafan kepada usahawan yang betul-betul berjaya di samping memperkukuhkan dan mengeratkan hubungan sesama usahawan,” katanya.

Terdahulu, anugerah ini pernah dimenangi penggiat seni dan selebriti terkenal tanah air antaranya, Datuk Dr Sheikh Muszaphar, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Nicole David, Datuk Lee Chong Wei, Shila Amzah dan Fattah Amin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast