PENGERANG – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh diumum sebagai calon kerusi Parlimen Pengerang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara itu diumumkan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan dalam Majlis Penyerahan Calon Parlimen Pengerang kepada PH Pengerang di Felda Air Tawar 1, dekat sini, semalam.
Che Zakaria yang menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada PRU14 dengan majoriti 8,746 undi dijangka berdepan Datuk Seri Azalina Othman.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) merupakan seorang daripada enam calon Amanah di Johor yang akan bertanding pada PRU15.
Sementara itu, Che Zakaria berkata, pemilihannya merupakan satu penghormatan dan beliau akan bekerja keras bagi menawan kerusi tersebut.
Katanya, pengumuman enam calon Amanah Johor untuk PRU15 itu dilakukan di setiap kawasan Parlimen yang ditandingi parti itu. – MalaysiaGazette