Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas membuat lawatan khas sempena PRU-15 dan monsun timur laut ketika di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan tidak berlaku pertindihan antara lokasi pembuangan undi dengan penempatan mangsa banjir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini terdapat 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan disediakan jika banjir berlaku.

Daripada jumlah itu beliau berkata, sebanyak 2,010 PPS akan terlibat sebagai tempat pembuangan undi.

“Kalau sekolah ada dua atau tiga blok kita asingkan tempat mengundi dengan PPS.

“Kalau sekolah paling-paling teruk ada enam kelas, mungkin tiga hingga empat blok…dua blok kita guna untuk pemindahan dan dua blok lagi untuk mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan walkabout dan taklimat berhubung PRU15 kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sesi taklimat itu Ketua Setiausaha Negara Ketua, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, seramai 69,230 anggota keselamatan terdiri daripada pasukan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) angkatan terlibat dalam kedua-dua perkara itu.

Ujarnya, jumlah tersebut akan ditambah mengikut keperluan semasa.

Menjawab pertanyaan mengenai cuti kepada pasukan keselamatan menjelang PRU dan musim banjir, Ismail Sabri berkata, pada kebiasaan cuti bagi pegawai dan anggota pada pengunjung tahun akan dibekukan.

“Biasanya bulan Disember pegawai tertinggi kerajaan tak dibenarkan bercuti, takut berlaku banjir, KSN akan umumkan, ” tambahnya. – MalaysiaGazette