KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah kepada keluarga penyandang Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman yang kehilangan ibunya, hari ini.
Ucapan takziah itu diciap menerusi akaun rasmi Twitter Perdana Menteri itu, sebaik sahaja menerima berita kematian itu, sebentar tadi.
“Bagi pihak Keluarga Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada YB Dato’ Sri Azalina dan keluarga atas kehilangan bonda yang tersayang.
“Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan roh mereka yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” ciapnya di akaun Twitternya, hari ini.
Terdahulu, Allahyarhamah Datin Salamah Sheikh Ahmad meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), awal pagi tadi.
Jenazah Allahyarhamah dilaporkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Zuhur, hari ini.
Berita pemergian ibu Azalina itu dikongsikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di akaun Twitternya, sebentar tadi.
“Salam takziah diucapkan kepada Dato’ Sri Azalina Othman Said sekeluarga atas pemergian bonda tercinta, Allahyarhamah Datin Salamah Sheikh Ahmad.
“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” ciap Azmin. – MalaysiaGazette